KOTA BHARU: Penduduk Kuala Krai terutama
yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil didakwa
hidup sengsara sejak sekian lama ekoran kegagalan Air Kelantan Sdn. Bhd.
(AKSB) membekalkan air bersih dengan secukupnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Guchil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Roslan Puteh
berkata, AKSB bukan sahaja gagal membekalkan air secukupnya secara
berterusan tetapi bantuan kecemasan juga tidak dihantar dengan segera
apabila aduan yang dibuat hanya akan diselesaikan selepas beberapa hari.
Menurut Roslan, beliau sendiri pernah mengalami pengalaman apabila
permohonannya untuk mendapatkan bekalan air kecemasan melalui lori
tangki tidak diselesaikan segera sebaliknya memakan masa hampir dua
hari.
"Kawasan saya di DUN Guchil rakyat hidup dalam keadaan sengsara
apatah lagi untuk mencapai sejahtera daripada sudut bekalan air oleh
AKSB, setiap kali bekalan air terputus atau keruh AKSB akan memberi
jawapan sama sejak bertahun lamanya.
"Antara tanggungjawab AKSB adalah membekalkan air melalui lori
tangki, terima kasih AKSB tetapi manakah rasionalnya lori dibekalkan
tanpa pemandu maka jadilah lori tersebut ibarat lori hantu yang tunggu
hantu buat sarang.
"Pada 21 September lalu, kira pukul 2 petang bekalan air terputus di
Ladang Mengkebang, Kuala Krai. Saya menelefon pejabat AKSB pada pukul
2.20 petang memohon lori tangki dihantar ke ladang tetapi lori hanya
sampai pada pukul 12 tengah malam, 23 September," katanya ketika
membahas Bajet 2014 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut Roslan, kes terbaru turut berlaku di sebuah kampung
berhampiran ladang tersebut apabila bekalan air terputus namun meskipun
aduan telah disampai sehingga pukul 9 malam tadi masih belum ada bantuan
diberikan.
Roslan berkata, tema Bajet 2014 iaitu 'Kesejahteraan Rakyat,
Kemakmuran Negeri' yang dicanangkan Kerajaan Pas Kelantan tidak akan
tercapai sekiranya AKSB masih gagal mengubah operasi mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap masalah bekalan air di Kuala Krai
dapat diselesaikan dan semua agensi kerajaan negeri memainkan peranan
masing-masing dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan