Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 Oktober 2013

10% penduduk Malaysia alami sakit mental menjelang 2020

KOTA BHARU: Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini diramal akan mengalami penyakit mental menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman (gambar) berkata, pertambahan populasi penduduk berusia 50-an dan ke atas menjelang 2020 akan memberi implikasi terhadap sistem penjagaan dan pemberian perkhidmatan kesihatan seperti kesihatan mental dan fizikal.

"Golongan usia 50-an dan ke atas akan menghadapi kemerosotan tahap kesihatan akibat penyakit kronik, rasa sunyi akibat terpinggir daripada keluarga dan masyarakat, hilang minat akibat hilang pekerjaan serta masalah kewangan akibat kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Psikologi Pekhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan kali ke-19 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, hari ini.

Dr Lokman Hakim berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kemurungan merupakan satu daripada penyakit mental yang menduduki tempat kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia menjelang 2020.

Beliau berkata, kerajaan, keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan untuk memastikan kesihatan mental warga 50-an dan ke atas terjamin dengan memberi sokongan yang positif untuk persiapan seseorang ke arah usia emas.

"Secara psikologinya, warga 50 tahun ke atas akan mengalami perubahan emosi dan personaliti, kemerosotan fungsi minda, serta perubahan pada tingkah laku.

"Perubahan yang dialami perlu diberi perhatian sewajarnya bagi membantu mereka mengekalkan tahap kesihatan mental yang baik," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan sistem rawatan, penjagaan dan pemulihan pesakit psikiatri melalui perkhidmatan di hospital dan klinik kesihatan dalam usaha menangani masalah itu.

"Sebagai langkah pencegahan, terdapat empat institusi mental dan 48 hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental.

"Kini terdapat 252 pakar psikiatri di seluruh negara dan 80 pegawai psikologi klinikal selain 228 pakar perubatan keluarga di klinik-klinik kesihatan bagi mengesan dan memberi rawatan kepada pesakit yang dikenal pasti mempunyai gangguan dan penyakit mental," katanya.

Turut hadir pada seminar itu ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam Dr Abd Halim Mohd Hussin dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir. 
 
Sumber: BERNAMA | 10 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan