Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 8 Oktober 2013

Kelantan perlu RM2 bilion untuk selesai masalah air

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu bahawa pinjaman yang diberi oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM603 juta kepada kerajaan negeri pada 2011 untuk menyelesaikan masalah air bersih di negeri itu tidak mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi negeri Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri sebaliknya memerlukan RM2 bilion sehingga 2025 untuk menyelesaikan masalah itu.

"Kalau kami memperoleh RM2 bilion ini, kami akan dapat meningkatkan jumlah penggunaan sehingga meliputi 80 peratus penduduk Kelantan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning).

Beliau berkata setelah menaiktaraf sembilan loji air, kapasiti pengeluaran air bersih di negeri itu kini ditingkatkan kepada 428 juta liter sehari, berbanding sebelum ini 228 juta liter sehari.

Sementara itu persidangan DUN juga diberitahu hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kini disifatkan semakin baik terutama berkaitan urusan pentadbiran.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berkata pegawai kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa mengadakan pertemuan antara mereka bagi membentuk persefahaman antara kedua-dua pihak.

Menjawab soalan Azami Md Nor (PAS-Kadok), Ahmad berkata kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan tahun lepas ialah 5.4 peratus, berbanding 6.5 peratus pada 2011.

Sumber: BERNAMA | 8 Okt. 2013 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan