![]()  | 
| Tarian kemenangan oleh pemain Kelantan selepas menumpaskan pasukan Johor 6-1 pada perlawanan Piala Malaysia peringkat suku akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, baru baru ini. | 
 KOTA BHARU: Kegilaan rakyat Kelantan 
terhadap bola sepak tidak dapat disangkal lagi dan semakin menjadi-jadi 
selepas Kelantan mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh 
lima tahun sejak 2009.
Kejayaan itu meletakkan pasukan Kelantan berada pada kelas tersendiri
 selepas mengalami zaman kemerosotan sebelum ini sehingga menyaksikan 
skuad yang terkenal dengan laungan 'Gomo Kelate Gomo' itu terpaksa 
beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2005.
Namun segalanya berubah apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) 
mengalami transformasi luar biasa di bawah teraju kepimpinan Ahli 
Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengambil alih tampuk 
pengurusan persatuan pada 2008.
Di bawah transformasi tersebut, Annuar membuat perubahan drastik 
dengan menjenamakan semula pasukan Kelantan dengan memberikan gelaran 
baharu iaitu The Red Warriors (TRW).
Percubaan Annuar membawa masuk beberapa nama besar ke dalam pasukan 
Kelantan antaranya Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Norfarhan Mohammad, 
Ahmad Azlan Zainal dan Khalid Jamlus membuahkan hasil apabila mereka 
membuat kemunculan semula di pentas final Piala Malaysia untuk tempoh 39
 tahun selepas melakukannya kali terakhir pada 1970.
Bagaimanapun, hasrat untuk menjulang kejuaraan pada penampilan final 
pertama di pentas Piala Malaysia itu dinafikan oleh Negeri Sembilan 
apabila mereka tumpas 1-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bukit 
Jalil.
Tahun 2010, Kelantan yang membuat penampilan kedua di pentas 
tersebut, nyata lebih bersedia apabila berjaya menumpaskan juara 
bertahan Negeri Sembilan sekali gus menebus kekecewaan tumbang kepada 
pasukan berkenaan pada penampilan pertama sebelum ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan Kelantan yang ketika itu dibimbing B. 
Sathianathan memahat sejarah baharu dalam lipatan bola sepak di negeri 
ini dengan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke bumi Cik 
Siti Wan Kembang sejak mula diperkenalkan pada 1921.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun rakyat
 negeri ini untuk melihat pasukan kesayangan mereka bergelar juara buat 
kali pertama.
'Aura' kejayaan yang ditinggalkan oleh Sathianathan atau lebih mesra 
dengan panggilan Abe Ya dalam kalangan peminat Kelantan diteruskan oleh 
pengendali kelahiran Croatia, Bojan Hodak dengan menjulang The Red 
Warriors merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua pada tahun 
lalu.
Lebih manis, kejayaan menjulang Piala Malaysia itu hadir selepas 
Kelantan merangkul dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala FA sekali 
gus meletakkan The Red warriors setanding dengan pasukan yang pernah 
mencipta kejuaraan treble iaitu Selangor dan Kedah.
Hodak terus memahat namanya dalam lipatan sejarah bola sepak Kelantan
 sebagai jurulatih paling berjaya apabila sekali lagi membimbing The Red
 Warriors mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima 
tahun.
Mengimbau kembali saingan Piala Malaysia musim ini, Kelantan yang 
diundi dalam kumpulan C bersama Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan 
bermula agak perlahan apabila sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 
dengan skuad Tok Gajah pada aksi pembukaan.
Pada aksi kedua, Kelantan kembali bangkit dengan mendapat tonik 
berharga dengan menumbangkan seteru tradisi Terengganu 2-0 dalam aksi 
yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Hasrat The Red Warriors untuk meneruskan momentum kemenangan 
kemudiannya terencat apabila diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan dalam aksi 
ketiga di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menutup saingan 
pusingan pertama dengan mengumpul lima mata.
Ketika The Red Warriors memasang impian untuk mara ke pusingan kedua 
lebih awal, Negeri Sembilan melakar kejutan terbesar apabila 
menumbangkan skuad bimbingan Hodak 3-2 dalam aksi di Kota Bharu.
Menyedari peluang untuk mara ke pusingan kedua dilihat hampir 
tertutup, Kelantan kembali bangkit dengan menumbangkan seteru tradisi 
3-1 di Kuala Terengganu dan kemudian membelasah Pahang 4-0 untuk 
mengesahkan status sebagai juara kumpulan.
Memasuki saingan peringkat kalah mati, The Red Warriors yang muncul 
selaku juara Kumpulan C berdepan ujian getir apabila diundi bertemu 
dengan naib juara Kumpulan B Harimau Selatan untuk membuat perhitungan 
bagi mengisi slot empat pasukan terbaik di peringkat saingan separuh 
akhir.
Kredibiliti Kelantan sebagai juara bertahan teruji apabila mereka 
tumbang mengejut 2-4 kepada Harimau Selatan dalam aksi suku akhir 
pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Ketika ramai pemerhati bola sepak negara meramalkan peluang Kelantan 
untuk mara ke saingan separuh akhir tertutup ekoran kekalahan tersebut, 
The Red Warriors yang bersandarkan kepada semangat 'This Is Kota Bharu' 
membuat kemunculan memukau dengan melanyak Harimau Selatan menerusi 
kemenangan 6-1 pada pertemuan tersebut.
Kemunculan luar biasa Kelantan pada perlawanan tersebut berjaya 
menutup suara-suara sumbang yang meramalkan The Red Warriors bakal 
tersingkir ekoran defisit jurang gol yang agak besar.
Namun semangat 'This Is Kota Bharu' yang menyerap masuk ke dalam 
sanubari setiap pemain berjaya menafikan hasrat Johor Darul Takzim 
(Johor DT) untuk melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan 
itu.
Kemenangan itu, menyaksikan The Red Warriors melangkah gagah ke 
pentas separuh akhir dengan menyingkirkan pasukan berstatus bintang 
tersebut menerusi kiraan agregat 8-5 seterusnya menanti Angkatan Tentera
 Malaysia (ATM) di peringkat separuh akhir.
Dalam saingan separuh akhir, The Red Warriors memulakan aksi pertama 
dengan langkah kanan apabila menumpas The Gladiators 2-1 seterusnya 
membawa bekalan dua gol ke Kota Bharu.
Bekalan dua gol tersebut nyata tidak mencukupi buat The Red Warriors,
 apabila The Gladiators membuat kebangkitan pada aksi kedua dengan 
meledakkan dua jaringan awal untuk mengikat kedudukan agregat menjadi 
2-2.
Hasrat, The Gladiators untuk mengulangi kejutan seperti dilakukan 
dengan menumpaskan The Red Warriors dalam saingan Liga Super 13 April 
lalu tidak menjadi kenyataan apabila Kelantan bangkit mengikat kedudukan
 menjadi 2-2 ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk ditamatkan.
Meskipun seri pada perlawanan tersebut, Kelantan melangkah gagah ke 
final menerusi kiraan agregat 4-3 dan mencerahkan peluang mereka untuk 
mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut musim ini.
Pada pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 3 
November ini, Kelantan bakal membuat perhitungan dengan sebuah lagi 
pasukan Pantai Timur iaitu Pahang selepas menumpaskan Sarawak menerusi 
kiraan agregat 4-2.
Keupayaan Hodak membawa The Red Warriors melangkah ke pentas final 
Piala Malaysia wajar diberikan pujian selepas berhempas-pulas untuk 
menyediakan ramuan terbaik buat pasukannya selepas kehilangan penyerang 
prolifiknya musim lalu iaitu Norshahrul Idlan Tahala yang berhijrah ke 
Johor Darul Takzim musim ini.
Bukan itu sahaja, Kelantan turut berdepan dengan ketumpulan jentera 
serangan yang menyaksikan The Red Warriors terpaksa membawa masuk ramuan
 baharu untuk memantapkan posisi berkenaan dengan menggantikan tonggak 
import mereka Keita Manjdou dengan Dickson Nwakaeme pada sesi 
perpindahan pemain awal April lalu.
Kemasukan Nwakaeme merubah jentera serangan Kelantan apabila pemain 
tersebut berjaya membawa impak cukup besar apabila membalas kepercayaan 
yang diberikan KAFA dengan menjadi sebahagian daripada pencetak gol The 
Red Warriors musim ini.
Ketajaman Nwakaeme terserlah sebaik sahaja dia pulih daripada 
kecederaan ketika saingan Piala Malaysia memasuki pusingan kedua apabila
 mencetak gol-gol penting buat Kelantan termasuklah ketika membelasah 
Harimau Selatan 6-1 pada aksi suku akhir.
Penyerang kelahiran Lagos, Nigeria itu turut menjadi watak penting 
apabila menjadi duri dalam daging ketika Kelantan menumpas ATM 1-2 dalam
 perlawanan separuh akhir pertama sehingga pengendali ATM 
menggelarkannya sebagai 'orang besi'.
Kejayaan The Red Warriors layak ke pentas final mendapat pujian 
daripada Annuar yang menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan karektor 
sebagai sebagai juara selepas menyingkirkan ATM pada aksi separuh akhir 
baru-baru ini.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan