KOTA BHARU: Berita baik kepada petani di 
bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) apabila dapat 
mengusahakan kembali sawah mereka setelah pam lama di Rumah Pam Kemubu 
di sini, siap dibaiki dan dapat menyalurkan air semula ke sawah.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md. Alwi 
Che Ahmad berkata, petani tidak lagi perlu bimbang tentang masalah 
bekalan air kerana pam lama yang dibaiki dengan kos RM300,000 tersebut 
berupaya mengepam air dari paras serendah 3.4 meter, iaitu paras 
kebiasaan air Sungai Kelantan.
Tambahnya, keadaan juga akan bertambah baik apabila projek menaikkan 
benteng bagi pam baharu yang memerlukan ketinggian air 4.5 meter 
dijangka siap sepenuhnya Disember ini. 
Jelasnya, usaha KADA tersebut akan menampung kerugian kira-kira RM300
 juta yang dialami sejak tahun lalu apabila tiga musim pengeluaran padi 
terbantut akibat masalah bekalan air.
"Pam baharu memerlukan ketinggian air 4.5 meter untuk berfungsi dan 
menjadi masalah apabila bekalan air Sungai Kelantan tidak mencukupi dan 
kurang dari paras yang dikehendaki.
"Kita berusaha mengatasinya dengan melaksanakan projek membina 
benteng tetapi tidak siap kerana beberapa masalah, jadi tender baharu 
bernilai RM2 juta untuk menyempurnakannya telah diberi kepada kontraktor
 lain.
"Buat masa ini, kita sudah berjaya membaiki semula pam lama yang mana
 reka bentuknya membolehkan air dipam pada paras lebih rendah dan kita 
berharap semua pesawah dapat turun mengusahakan padi semula pada musim 
baru yang bermula bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perjumpaan 
Pengerusi KADA Bersama Ahli Jemaah Pengarah dan Pengurus Pertubuhan 
Peladang Kawasan (PPK) di pejabat KADA, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar KADA, Ridzuan Ismail.
Menurut Md. Alwi, pada musim pertama dari Februari hingga Ogos lalu, 
pesawah hanya berjaya menanam di kawasan sejumlah 10,123 hektar atau 
satu pertiga berbanding jumlah keseluruhan 29,450 hektar kawasan 
penanaman padi KADA.
Beliau berkata, kerugian bukan sahaja membabitkan usaha penanaman 
padi tetapi turut menjejaskan bidang lain seperti perusahaan bekalan 
baja, benih, racun, membajak dan penghasilan beras yang merupakan punca 
pendapatan kepada PPK dan petani.
"Pada musim pertama baru-baru ini, tidak ada satu hektar tanah sawah 
KADA dapat ditanam bagi kawasan Kota Bharu Hulu yang seluas 2,959 hektar
 manakala bagi Kota Bharu Selatan hanya 68 hektar daripada kawasan 
seluas 5,350 hektar dapat ditanam padi sedangkan dalam masa sama petani 
telah membajak kawasan kira-kira 1,000 hektar bagi jajahan ini.
"Sebab itu, ada petani berputus asa tidak mahu tanam padi, menjual 
tanah mereka, menimbun sawah untuk membina rumah, beralih kepada menanam
 kenaf dan meninggalkan tanah kosong.
"Saya mahu beri keyakinan semula kepada petani untuk kembali turun 
mengusahakan padi musim ini kerana KADA telah berusaha sedaya upaya 
memastikan bekalan air yang cukup," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan