KUALA LUMPUR: Penyanyi Alyah (gambar) mula jatuh cinta dengan dunia 
perniagaan baharunya apabila melibatkan diri sebagai penjual tudung 
jenis ‘turban’ yang diberi nama ‘Gayaalyah’.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, dia  
berasa puas dengan pendapatan yang diterimanya melalui penjualan tudung 
rekaan sendirinya itu.
"Sebelum berhijab lagi saya sudah ada jenama turban iaitu Gayaalyah 
untuk wanita yang gemar bergaya tetapi sekarang selepas berhijab saya 
kembali semula dengan rekaan-rekaan baru untuk wanita Muslimah.
"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan saya sangat gembira 
dengan hasil jualan turban yang saya reka sendiri," katanya ketika 
ditemui mStar Online.
Jelas Alyah, dia sentiasa membuat kajian terhadap arah aliran (trend) terbaharu 
daripada fesyen luar negara untuk disesuaikan dengan fesyen Muslimah di 
negara ini. Tambahnya, bukan sahaja tudung, malah terdapat juga pakaian wanita Muslimah dalam koleksi jenama tersebut.
"Gayaalyah bukan hanya turban sebaliknya ada juga pakaian wanita, 
cuma saya tiada banyak masa untuk itu dan fokus utama ialah pada rekaan 
turban," jelasnya.
Katanya, koleksi Gayaalayah boleh didapati di laman sesawang beli-belah 
dalam talian Eiliya Butik yang juga memuatkan pelbagai koleksi pereka 
fesyen Muslimah.
Dalam perkembangan lain, Alyah berkata, dia kini sibuk menyiapkan single terbaharunya berjudul Ada Cinta ciptaan Manusia Putih.
"Saya sedang cari lokasi penggambaran untuk video muzik tersebut dan mungkin akan dilancarkan penghujung tahun ini," katanya.
Sumber: mStar Online | 10 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan