![]()  | 
| Munah Jusoh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada rakannya berlatarbelakangkan kebun getah yang ditenggelami lumpur di Lubok Stol, Rantau Panjang, kelmarin. | 
RANTAU PANJANG: Hampir 50 petani dan 
pemilik tanah di kawasan Lubok Stol di sini hilang punca pendapatan 
ekoran tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian selepas tanah kebun 
milik mereka ditenggelami air lumpur bercampur bijih besi.
Lebih menyedihkan, situasi berkenaan berlarutan sejak tiga tahun lalu
 dan dalam tempoh tersebut tidak ada sebarang tindakan diambil pihak 
bertanggungjawab walaupun beberapa aduan mengenainya telah dibuat.
Situasi yang berlaku itu berpunca akibat limpahan air dari sebuah 
tapak perlombongan bijih besi yang terletak di atas sebuah bukit 
berhampiran tanah mereka menyebabkan kawasan pertanian yang berkeluasan 
lebih kurang 40 hektar kelihatan seakan tasik bijih.
Pemilik-pemilik tanah berkenaan mendakwa, limpahan air tersebut berlaku sejak 2008 seawal lombong berkenaan mula dibuka. Namun, keadaan berkenaan menjadi bertambah serius sejak 2011 
menyebabkan aktiviti pertanian di kawasan tersebut tidak dapat 
dijalankan.
Pemilik tanah, Munah Jusoh, 64, memberitahu, kebun getahnya 
sebelum ini mampu memberinya pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dan dia
 turut mempunyai beberapa orang pekerja di kebunnya. Bagaimanapun, katanya, sejak tiga tahun lalu, ekoran paras air yang 
semakin tinggi, para pekerja tidak dapat menjalankan kerja-kerja menoreh
 dan dia mengalami kerugian besar.
"Saya terpaksa memberhentikan semua pekerja kerana mereka tidak lagi 
boleh ke kebun untuk menoreh akibat paras air yang semakin tinggi, malah
 pokok-pokok getah saya yang sejak sekian lama ditenggelami air mula 
mati.
"Kebanyakan pokok juga mula tumbang dan kawasan kebun saya menjadi 
sangat teruk kerana bukan sahaja air yang membanjiri kawasan tetapi 
lumpur sehingga paras lutut juga menyebabkan keadaan bertambah buruk," 
katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, tindakan segera oleh pemilik tapak perlombongan amat 
diharapkan kerana kami tidak sanggup lagi terus dalam keadaan begini. 
Kami terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan orang lain dan ini 
sudah tentu mengecewakan kami semua," ujarnya.
Sementara itu, pemilik tanah, Zainulabidin Mohd. Nor, 56, 
menjelaskan, beberapa usaha sebelum ini diambil antaranya menggunakan 
perkhidmatan peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Malah, katanya, ada pemilik tanah terpaksa mengeluarkan wang sehingga RM10,000 seorang untuk tujuan pembiayaan tersebut. "Kami pemilik tanah hanya menjalankan aktiviti pertanian secara 
kecil-kecilan dan wang sebanyak itu sudah tentu membebankan kami semua 
dan ada antara kami terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mampu untuk 
mendapatkan khidmat peguam.
"Sejak tiga tahun lalu, saya melaporkan perkara ini kepada polis, 
Jabatan Alam Sekitar, Ketua Jajahan Pasir Mas dan Ahli Parlimen, malah 
turut melawat mereka ke tapak lombong. Namun, sehingga sekarang tiada 
tindakan lanjut diambil," jelasnya.
Mengulas lanjut, Zainulabidin merayu campur tangan kerajaan negeri 
untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pemilik tanah supaya 
mereka dapat kembali bekerja.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika 
mengulas perkara berkenaan berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) 
negeri telah diarah membuat siasatan segera terhadap laporan kira-kira 
50 pemilik tanah di Lubok Stol, Rantau Panjang, dilaporkan hilang punca 
pendapatan apabila kebun mereka ditenggelami air lumpur bercampur bijih 
besi.
"Sekiranya kerja-kerja (perlombongan) itu didapati melanggar 
peraturan kita akan mengambil tindakan wajar. Kerajaan negeri telah 
mengarahkan PTG membuat siasatan segera sebab ini membabitkan 
(menjejaskan) orang awam," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Okt. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan