![]()  | 
| Gambar sekadar hiasan | 
KOTA BHARU: Sebuah kondominium mewah 
berkonsepkan kehijauan serta lengkap dengan ciri-ciri mesra alam akan 
dilaksanakan di bandar raya ini sekali gus bakal merealisasikan cita rasa 
penduduk yang sememangnya sangat mengimpikan pembangunan sedemikian.
Pembangunan tersebut yang buat pertama kalinya dilaksanakan di negeri
 ini akan dilaksanakan oleh Ken Property Sdn. Bhd. (KPSB) anak syarikat 
Ken Holding Berhad dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri 
Kelantan (PKINK).
Pengerusi PKINK yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan, Datuk 
Ahmad Yakob berkata, projek berkenaan yang menelan kos RM48 juta akan 
dilaksanakan di Lot 17, Seksyen 16, Jalan Hamzah berhampiran pusat 
beli-belah terkenal KB Mall di sini.
''Projek kondominium 21 tingkat yang terdiri daripada 165 unit 
kediaman itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun,'' katanya
 kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian 
pembangunan bersama di antara PKINK dan Ken Holding Berhad di salah 
sebuah hotel di sini hari ini.
Katanya, projek yang dibiayai sepenuhnya KPSB di tanah milik PKINK 
itu nanti turut bakal merangkumi pembinaan seperti pejabat pengurusan, 
surau, dewan masyarakat, tadika, gimnasium, kolam renang dan kawasan 
permainan kanak-kanak.
"Apabila siap projek itu nanti, akan membuka peluang kepada penduduk 
di negeri ini memiliki kediaman dalam kawasan bandar selain mampu 
memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini. "Selain itu, PKINK juga bakal memperoleh keuntungan sebanyak RM5.7 juta hasil daripada projek ini," ujarnya.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ken Holding Berhad, 
Datuk Kenny Tan Boon Kang; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar 
Abdullah dan Ketua Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah.
Tambah Ahmad Yakob, beliau yakin projek berkenaan nanti akan mendapat
 sambutan baik daripada rakyat di negeri ini yang sememangnya 
berkeupayaan memiliki kediaman mewah seperti itu.
Sementara itu, Kenny pula berkata, pihaknya akan melaksanakan projek 
itu nanti dengan baik dalam usaha merealisasikan sebuah lagi gaya hidup 
masyarakat di negeri ini melalui kehidupan yang lebih selesa dan mapan.
"Syarikat kami yang menjadi perintis pembangunan berkonsep hijau atau
 mesra alam selama ini akan terus menitik beratkan konsep tersebut dan 
akan merealisasikan pembangunan mapan berkonsepkan hijau yang pertama di
 Kota Bharu ini," katanya. 
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Okt. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan