Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 5 Jun 2014

Nafas buka Universiti Peladang tahun depan

Abdul Aziz (dua, kanan) bersama Mohd Rosdi (kanan) beramah mesra dengan ahli pertubuhan peladang di PPK Chabang Empat.
TUMPAT: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan membuka Universiti Peladang bagi memberi peluang kepada anak petani, penternak dan nelayan mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, Kementerian Pengajian Tinggi memberi lampu hijau penubuhannya dan ia akan dibuka tahun depan.

“Bangunan tersebut masih dalam proses penambahbaikan dan dijangka tahun depan ia dibuka untuk kemasukan pelajar sulungnya.

“Universiti Peladang menawarkan pengajian peringkat diploma dan ijazah. Pengambilan pelajar bergantung kepada kapasiti dan kemudahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Pindaan Teknologi Insentif Negara Bagi Keluaran Padi, anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bersama Nafas di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Chabang Empat.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Abdul Aziz memberitahu, bidang pengajian peringkat diploma dan ijazah itu fokus kepada bidang pertanian, sama ada pengendalian makanan atau sumber kemanusiaan dengan  mengambil model dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Keutamaan kepada anak petani dan nelayan untuk mengikuti pengajian di sini,” katanya.

Mengulas program Pindaan Teknologi Insentif Negara, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan  memberikan idea baharu kepada petani dalam amalan pertanian yang baik.

“Diharap petani dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran padi di negeri ini selaras dengan teknologi yang ada pada hari ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 5 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan