Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 31 Oktober 2013

The Red Warriors kebanggaan Kelantan

Tarian kemenangan oleh pemain Kelantan selepas menumpaskan pasukan Johor 6-1 pada perlawanan Piala Malaysia peringkat suku akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, baru baru ini.
KOTA BHARU: Kegilaan rakyat Kelantan terhadap bola sepak tidak dapat disangkal lagi dan semakin menjadi-jadi selepas Kelantan mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun sejak 2009.

Kejayaan itu meletakkan pasukan Kelantan berada pada kelas tersendiri selepas mengalami zaman kemerosotan sebelum ini sehingga menyaksikan skuad yang terkenal dengan laungan 'Gomo Kelate Gomo' itu terpaksa beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2005.

Namun segalanya berubah apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengalami transformasi luar biasa di bawah teraju kepimpinan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengambil alih tampuk pengurusan persatuan pada 2008.

Di bawah transformasi tersebut, Annuar membuat perubahan drastik dengan menjenamakan semula pasukan Kelantan dengan memberikan gelaran baharu iaitu The Red Warriors (TRW).

Percubaan Annuar membawa masuk beberapa nama besar ke dalam pasukan Kelantan antaranya Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Norfarhan Mohammad, Ahmad Azlan Zainal dan Khalid Jamlus membuahkan hasil apabila mereka membuat kemunculan semula di pentas final Piala Malaysia untuk tempoh 39 tahun selepas melakukannya kali terakhir pada 1970.

Bagaimanapun, hasrat untuk menjulang kejuaraan pada penampilan final pertama di pentas Piala Malaysia itu dinafikan oleh Negeri Sembilan apabila mereka tumpas 1-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Tahun 2010, Kelantan yang membuat penampilan kedua di pentas tersebut, nyata lebih bersedia apabila berjaya menumpaskan juara bertahan Negeri Sembilan sekali gus menebus kekecewaan tumbang kepada pasukan berkenaan pada penampilan pertama sebelum ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan Kelantan yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan memahat sejarah baharu dalam lipatan bola sepak di negeri ini dengan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke bumi Cik Siti Wan Kembang sejak mula diperkenalkan pada 1921.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun rakyat negeri ini untuk melihat pasukan kesayangan mereka bergelar juara buat kali pertama.

'Aura' kejayaan yang ditinggalkan oleh Sathianathan atau lebih mesra dengan panggilan Abe Ya dalam kalangan peminat Kelantan diteruskan oleh pengendali kelahiran Croatia, Bojan Hodak dengan menjulang The Red Warriors merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua pada tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan menjulang Piala Malaysia itu hadir selepas Kelantan merangkul dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala FA sekali gus meletakkan The Red warriors setanding dengan pasukan yang pernah mencipta kejuaraan treble iaitu Selangor dan Kedah.

Hodak terus memahat namanya dalam lipatan sejarah bola sepak Kelantan sebagai jurulatih paling berjaya apabila sekali lagi membimbing The Red Warriors mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Mengimbau kembali saingan Piala Malaysia musim ini, Kelantan yang diundi dalam kumpulan C bersama Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan bermula agak perlahan apabila sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan skuad Tok Gajah pada aksi pembukaan.

Pada aksi kedua, Kelantan kembali bangkit dengan mendapat tonik berharga dengan menumbangkan seteru tradisi Terengganu 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Hasrat The Red Warriors untuk meneruskan momentum kemenangan kemudiannya terencat apabila diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan dalam aksi ketiga di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menutup saingan pusingan pertama dengan mengumpul lima mata.

Ketika The Red Warriors memasang impian untuk mara ke pusingan kedua lebih awal, Negeri Sembilan melakar kejutan terbesar apabila menumbangkan skuad bimbingan Hodak 3-2 dalam aksi di Kota Bharu.

Menyedari peluang untuk mara ke pusingan kedua dilihat hampir tertutup, Kelantan kembali bangkit dengan menumbangkan seteru tradisi 3-1 di Kuala Terengganu dan kemudian membelasah Pahang 4-0 untuk mengesahkan status sebagai juara kumpulan.

Memasuki saingan peringkat kalah mati, The Red Warriors yang muncul selaku juara Kumpulan C berdepan ujian getir apabila diundi bertemu dengan naib juara Kumpulan B Harimau Selatan untuk membuat perhitungan bagi mengisi slot empat pasukan terbaik di peringkat saingan separuh akhir.

Kredibiliti Kelantan sebagai juara bertahan teruji apabila mereka tumbang mengejut 2-4 kepada Harimau Selatan dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketika ramai pemerhati bola sepak negara meramalkan peluang Kelantan untuk mara ke saingan separuh akhir tertutup ekoran kekalahan tersebut, The Red Warriors yang bersandarkan kepada semangat 'This Is Kota Bharu' membuat kemunculan memukau dengan melanyak Harimau Selatan menerusi kemenangan 6-1 pada pertemuan tersebut.

Kemunculan luar biasa Kelantan pada perlawanan tersebut berjaya menutup suara-suara sumbang yang meramalkan The Red Warriors bakal tersingkir ekoran defisit jurang gol yang agak besar.

Namun semangat 'This Is Kota Bharu' yang menyerap masuk ke dalam sanubari setiap pemain berjaya menafikan hasrat Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan itu.

Kemenangan itu, menyaksikan The Red Warriors melangkah gagah ke pentas separuh akhir dengan menyingkirkan pasukan berstatus bintang tersebut menerusi kiraan agregat 8-5 seterusnya menanti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat separuh akhir.

Dalam saingan separuh akhir, The Red Warriors memulakan aksi pertama dengan langkah kanan apabila menumpas The Gladiators 2-1 seterusnya membawa bekalan dua gol ke Kota Bharu.

Bekalan dua gol tersebut nyata tidak mencukupi buat The Red Warriors, apabila The Gladiators membuat kebangkitan pada aksi kedua dengan meledakkan dua jaringan awal untuk mengikat kedudukan agregat menjadi 2-2.

Hasrat, The Gladiators untuk mengulangi kejutan seperti dilakukan dengan menumpaskan The Red Warriors dalam saingan Liga Super 13 April lalu tidak menjadi kenyataan apabila Kelantan bangkit mengikat kedudukan menjadi 2-2 ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk ditamatkan.

Meskipun seri pada perlawanan tersebut, Kelantan melangkah gagah ke final menerusi kiraan agregat 4-3 dan mencerahkan peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut musim ini.

Pada pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 3 November ini, Kelantan bakal membuat perhitungan dengan sebuah lagi pasukan Pantai Timur iaitu Pahang selepas menumpaskan Sarawak menerusi kiraan agregat 4-2.

Keupayaan Hodak membawa The Red Warriors melangkah ke pentas final Piala Malaysia wajar diberikan pujian selepas berhempas-pulas untuk menyediakan ramuan terbaik buat pasukannya selepas kehilangan penyerang prolifiknya musim lalu iaitu Norshahrul Idlan Tahala yang berhijrah ke Johor Darul Takzim musim ini.

Bukan itu sahaja, Kelantan turut berdepan dengan ketumpulan jentera serangan yang menyaksikan The Red Warriors terpaksa membawa masuk ramuan baharu untuk memantapkan posisi berkenaan dengan menggantikan tonggak import mereka Keita Manjdou dengan Dickson Nwakaeme pada sesi perpindahan pemain awal April lalu.

Kemasukan Nwakaeme merubah jentera serangan Kelantan apabila pemain tersebut berjaya membawa impak cukup besar apabila membalas kepercayaan yang diberikan KAFA dengan menjadi sebahagian daripada pencetak gol The Red Warriors musim ini.

Ketajaman Nwakaeme terserlah sebaik sahaja dia pulih daripada kecederaan ketika saingan Piala Malaysia memasuki pusingan kedua apabila mencetak gol-gol penting buat Kelantan termasuklah ketika membelasah Harimau Selatan 6-1 pada aksi suku akhir.

Penyerang kelahiran Lagos, Nigeria itu turut menjadi watak penting apabila menjadi duri dalam daging ketika Kelantan menumpas ATM 1-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama sehingga pengendali ATM menggelarkannya sebagai 'orang besi'.

Kejayaan The Red Warriors layak ke pentas final mendapat pujian daripada Annuar yang menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan karektor sebagai sebagai juara selepas menyingkirkan ATM pada aksi separuh akhir baru-baru ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Okt. 2013

Rabu, 30 Oktober 2013

BELANJAWAN 2014: KERAJAAN PUSAT ABAIKAN KELANTAN – TIADA PERUNTUKKAN UNTUK NAIK TARAF LTSIP

PENGENALAN

PEMBENTANGAN Belanjawan Negara 2014 (Belanjawan 2014) pada 25 Oktober 2013 oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat langsung tidak memberikan apa-apa berita gembira kepada rakyat Kelantan. 

Hal ini kerana sebesar-besar negeri Kelantan hanya diberikan dengan dua projek kecil sahaja seperti yang disebut di dalam ucapan Belanjawan 2014, iaitu (1) projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas yang baharu; (2) dan  pembinaan bangunan blok baharu di kompleks Hospital Jeli di sebelah Kelantan Barat. 

Belanjawan 2014 memperutukkan lebih RM1 bilion untuk projek naik taraf kemudahan infrastruktur lapangan terbang dan sistem kawalan penerbangan awam. Daripada jumlah tersebut, RM312 juta diperuntukkan untuk menaik taraf beberapa buah lapangan terbang di Malaysia Timur, iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah serta di Miri, Sibu, dan juga Mukah di Sarawak. Bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Kedah) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (Pahang) juga akan dinaik taraf demi keselesaan penumpang.

Dalam pada itu, sebuah Pusat Pengurusan Trafik Udara baharu dengan kos sebanyak RM700 juta akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sistem baharu ini akan dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan dan kapasiti pengendaliannya adalah antara yang tertinggi di dunia.

PERSOALAN UTAMA

Persoalan utama di sini adalah di manakah peruntukkan untuk projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan? Di manakah letaknya nilai jaminan dan sokongan Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (merangkap ADUN Ayer Lanas, Ahli Parlimen Jeli, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) pada pertengahan Jun 2013 lepas di Dewan Undangan Negeri Kelantan bahawa beliau menyokong penuh dan memberi jaminan untuk memastikan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan supaya LTSIP dapat dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dapat direalisasikan. 

Cadangan untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa bukanlah suatu cadangan baharu. Kerajaan Pusat telah membuat pengambilan tanah ratusan ekar di hujung landasan No. 28 sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5: 1986 - 1990) lagi dan tanah rezab tersebut masih belum dibangunkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.  Setiap kali adanya pilihan raya umum, parti yang menerajui Kerajaan Pusat (iaitu Barisan Nasional) pastinya akan memasukkan cadangan untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa ke dalam manifesto mereka terutamanya di peringkat negeri Kelantan oleh UMNO dan Barisan Nasional Kelantan. 

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional berjaya mengekalkan penguasaan di peringkat Kerajaan Pusat sehingga ke hari ini, LTSIP tidak juga dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sedangkan tanggungjawab dalam menyedia atau membangunkan kemudahan lapangan terbang merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat menurut Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.  

KEPERLUAN NAIK TARAF LAPANGAN TERBANG

Terdapat beberapa perkara berkaitan LTSIP yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Antaranya adalah:- 
  1. Bangunan terminal yang semakin sesak - Pada tahun 2012 misalnya, LTSIP mengendalikan 1.29 juta penumpang dan jumlah pengendalian penumpang di lapangan terbang ini dijangka mencapai kapasiti maksimum 1.5 juta penumpang setahun pada tahun 2014. Bangunan terminal LTSIP sedia ada bukan sahaja menjadi semakin sempit tetapi semakin kurang selesa kerana peningkatan ketara jumlah penumpang setiap tahun berbanding lapangan-lapangan terbang di negeri-negeri jiran. Jika peruntukkan untuk lapangan terbang lain boleh diberikan untuk keselesaan penumpang dan mengapa tidak peruntukkan juga diberikan untuk keselesaan penumpang di LTSIP untuk membesarkan bangunan terminal?
  2. Tempat letak pesawat tidak mencukupi - Hanya lima buah pesawat boleh diletakkan di tempat letak pesawat di LTSIP dalam satu-satu masa. Waktu pagi dan lewat petang dikira waktu puncak yang menyaksikan kesesakan di tempat letak pesawat. 
  3. Landasan yang pendek - Landasan LTSIP patut dipanjangkan lagi kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter, iaitu keperluan panjang minimum untuk membolehkan pesawat jenis B747-400 mendarat. Rezab tanah lapangan terbang yang sedia ada membolehkan landasan LTSIP dapat dipanjangkan sehingga 3,800 meter.
  4. Jalan rayap selari (parallel taxiway) tidak lengkap - Walaupun LTSIP merupakan sebuah lapangan terbang yang sudah dilengkapi dengan jalan rayap selari, semua pesawat masih terpaksa menggunakan landasan dan membuat pusingan U di hujung landasan No. 10 untuk berlepas. Sepatutnya jika jalan rayap selari turut dibina sehingga ke hujung landasan No. 10, ia pastinya dapat meningkatkan kecekapan operasi di lapangan terbang ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010), hanya RM45.5 juta diperuntukkan atau dibelanja untuk memanjangkan landasan LTSIP dari 1,981 meter kepada 2,400 meter termasuk pembinaan jalan rayap selari (parallel taxiway) berbanding cadangan asal untuk memanjangkan landasan LTSIP dari 1,981 meter kepada 3,200 meter di bawah RMK-9. Manakala lapangan-lapangan terbang lain menerima peruntukan jauh lebih besar berbanding untuk LTSIP di bawah RMK-9 seperti projek naik taraf lapangan-lapangan terbang di Kota Kinabalu (RM1.5 bilion), Kuala Terengganu (RM882.2 juta), Kuching (RM620 juta), Labuan (RM365 juta), Pulau Pinang (RM250 juta), dan Melaka (RM188.2 juta).

Adakah atas nama demi keselesaan penumpang kurang daripada 35,000 penumpang setahun (statistik pengendalian penumpang pada tahun 2012 bagi Lapangan Terbang Melaka), Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan RM188.2 juta semata-mata untuk menaik taraf Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang langsung tidak mempunyai potensi untuk menarik syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTM? LTM sebenarnya kurang strategik untuk dibangunkan kerana kedudukan geografinya yang dikira sudah dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tambahan pula, majoriti warga Melaka boleh mengambil penerbangan terus dari KLIA.

LTSIP memerlukan landasan yang lebih panjang untuk membolehkan lapangan terbang ini mengendalikan pesawat berbadan lebar terutamanya A330-300, B777-200, dan B747-400 yang memerlukan landasan yang lebih panjang untuk mendarat dengan selamat. LTSIP mempunyai potensi besar untuk menjadi hab penerbangan antarabangsa serantau dengan menawarkan perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa ke Medan (Indonesia), Singapura, Bandar Raya Ho Chi Minh (Vietnam), Bangkok (Thailand), dan Phnom Penh (Kemboja) serta penerbangan haji terus ke Madinah dan Jeddah (Arab Saudi).

WILAYAH PANTAI TIMUR TIADA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA

Wilayah Pantai Timur merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang belum dilengkapi dengan kemudahan lapangan terbang antarabangsa. Di wilayah Utara terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala masing-masing sebuah lapangan lapangan terbang antarabangsa di wilayah Tengah dan Selatan, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru. Dalam pada itu, masing-masing terdapat sebuah lapangan terbang antarabangsa di wilayah Sabah dan Sarawak, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

Walaupun Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, Terengganu telah dicadangkan untuk menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk wilayah Pantai Timur, ia hanyalah suatu perancangan yang tidak berdaya maju tanpa mengambil kira faktor demografi, geografi, dan juga kedudukan strategik sesebuah lapangan terbang. Dalam perkara ini, LTSIP lebih berdaya maju untuk dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan mengambil kira kedudukan geografinya yang berdekatan dengan selatan Thailand dan Indochina serta jumlah penduduk yang padat di sebelah utara Pantai Timur dan selatan Thailand yang menyediakan pasaran untuk syarikat penerbangan.

KESIMPULAN DAN HARAPAN

Kerajaan Pusat harus menunjukkan komitmennya  dalam perkara ini dan tidak ada gunanya mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan atau mengabaikan pembangunan Kelantan sedangkan rakyat Kelantan boleh menilai sendiri bagaimana layanan Kerajaan Pusat terhadap Kelantan. Penangguhan demi penangguhan projek naik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa merupakan contoh paling jelas dan ketara bagaimana rakyat Kelantan dilayan oleh Kerajaan Pusat. Dalam perkara ini, Kerajaan Pusat perlu buktikan keikhlasannya dan bukan sekadar bercakap sahaja untuk mengambil hati rakyat Kelantan tetapi sebenarnya rakyat dan negeri Kelantan dipinggirkan. 

Oleh itu, Kerajaan Pusat diharap dapat menyegerakan projek naik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan menaik taraf kemudahan utama di LTSIP termasuk memanjangkan landasan kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter atau lebih panjang daripada ini untuk kemudahan rakyat Kelantan. Bukankah penaiktarafan dan pembangunan semula LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa akan memberi pulangan jangka panjang kepada Kerajaan Pusat dari segi kutipan cukai lapangan terbang dan caj penggunaan landasan dan kemudahan lapangan terbang yang dikenakan kepada syarikat-syarikat penerbangan?

MAS buka semula laluan Kota Kinabalu - Tokyo

MALAYSIAN Airline System Bhd (MAS) membuka semula penerbangan terus dari Kota Kinabalu, Sabah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo di Jepun, membuktikan kedudukan operasi syarikat penerbangan negara itu semakin kukuh.

Pembukaan semula itu juga menandakan pelancaran semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hab MAS di Malaysia Timur.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS sebelum ini menghentikan sementara beberapa laluan dari Kota Kinabalu ke Asia Timur sebagai sebahagian daripada pelan penggabungan rangkaian melibatkan pesawat berlorong tunggal.


"Seperti dijanjikan, kami telah menilai semula keputusan itu dan dengan permintaan pasaran, kami memutuskan untuk menyambung semula laluan ini.


"Kami yakin laluan ini akan memberi manfaat kepada MAS dan pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.


MAS juga baru-baru ini dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Terunggul Asia dalam Anugerah Pelancongan Dunia 2013, menewaskan 11 syarikat penerbangan lain.

Sumber: Sinar Harian | 30 Okt. 2013

JPP kenal pasti lokasi sesuai kampus UiTM Kota Bharu

Makhtar Mustapha (tiga dari kiri) bersama Azran Deraman (tengah) beramah mesra dengan anggota Alumni UiTM Cawangan Kelantan dalam Majlis Hi-Tea Alumni-Sahabat UiTM Cawangan Kelantan 2013 di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sedang mengenal pasti lokasi bagi pembinaan Kampus Kota Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti lokasi di kawasan Lundang untuk pembinaan kampus itu dan masih dalam proses perbincangan

''Jika lokasi tersebut sesuai dan dipersetujui, pihak kementerian akan bertindak menyediakan peruntukan bagi pembinaan kampus berkenaan," katanya selepas Majlis Hi-Tea Alumni-Sahabat UiTM cawangan Kelantan 2013 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan (JKKNNK) di Tanjung Chat dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Azran Deraman; Pengarah Urusan Tegas Venture Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Kaisan Ab. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar.

Pada majlis tersebut, seramai 150 Alumni UiTM cawangan Kelantan berkumpul bersama-sama Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr. Mohd. Shukri Omar.

Pembinaan kampus bandar UiTM itu merupakan satu daripada tujuh projek besar yang hendak dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) bagi membangunkan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Makhtar berkata, pihaknya akan berusaha agar projek itu dapat dicapai bagi memberi keselesaan kepada pelajar meneruskan pengajian mereka di kampus itu.

Katanya, keperluan terhadap kampus baharu itu sangat mendesak memandangkan bilangan pelajar UiTM yang semakin meningkat setiap tahun.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Okt. 2013

USM Kubang Kerian jalin hubungan dua hala dengan INCF

Sean Hill (duduk, empat dari kiri) dan Jafri Malin Abdullah (duduk, tengah) bersama peserta taklimat mengenai INCF di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, mencipta sejarah selepas menjalin hubungan dua hala dengan Pertubuhan Fasiliti Penyelaras Neuroimformatik Antarabangsa (INCF) yang berpengkalan di Stockholm, Sweden melibatkan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang neurosains.

Hubungan dua hala itu dijalin berikutan pengiktirafan Persekutuan Persatuan Pembedahan Neuro Sedunia yang melantik P3Neuro USM sebagai Pusat Latihan Pakar Saraf di negara ini berkuat kuasa 3 Oktober lalu.
Dengan pengiktirafan itu, P3Neuro USM akan menjadi salah satu daripada 16 pusat latihan saraf antarabangsa yang diiktiraf persekutuan berkenaan bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Presiden INCF, Prof. Sean Hill berkata, hubungan itu juga membolehkan pakar-pakar neuro USM berkongsi maklumat dan menyertai pelbagai perkembangan penyelidikan dunia berkaitan fungsi serta peranan otak manusia.

Menurut beliau, antara peranan INCF adalah membangun alat perisian dan menyediakan pangkalan data mengenai neurosains yang standard dan diperakui di peringkat dunia.

"INCF juga mengumpulkan perisian informatif di pusat perisian pertubuhan itu yang mana sesiapa sahaja boleh memuat turun dokumentasi dan maklumat berkaitan neurosains, mereka cipta sejenis perisian dikenali sebagai 'a wiki'," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat mengenai INCF di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini semalam.

Taklimat itu dihadiri kira-kira 30 peserta mewakili enam universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan USM.

Sementara itu, Pengarah P3Neuro USM, Prof. Jafri Malin Abdullah berkata, kerjasama dengan INCF membolehkan universiti menjalankan lebih banyak penyelidikan berkaitan neurosains setelah mendapat kelulusan daripada pesakit dan pihak Jawatankuasa Etika Manusia yang telah diwujudkan oleh USM sebelum ini.

"Penyelidikan itu penting untuk negara bagi mendapatkan kaedah rawatan terbaharu penyakit berkaitan otak, termasuk masalah berkaitan disleksia dan pembelajaran," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Okt. 2013

Selasa, 29 Oktober 2013

FAMA buka pasar tani di Kem Desa Pahlawan

Umi Kalsom Wan Awang melawat gerai pada Majlis Perasmian Pasar Tani Kem Desa Pahlawan dekat Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat julung kalinya membuka pasar tani di Kem Desa Pahlawan dekat sini.

Pembukaan rasmi pasar tani itu telah disempurnakan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Darat, Datin Seri Umi Kalsom Wan Awang hari ini.

Umi Kalsom berkata, pembukaan pasar tani itu bertujuan memberi peluang kepada pesara tentera untuk terlibat dalam sektor perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga.

Beliau berkata, selain FAMA, pembukaan pasar tani itu turut mendapat kerjasama Perwira Niaga Malaysia (Pernama) iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Pasar tani ini bertujuan memberi peluang pekerjaan khususnya kepada ahli keluarga tentera termasuk anggota yang sudah bersara. Ini kerana ATM berhasrat untuk menambah pendapatan isi rumah, membekalkan kemahiran dan juga memberi peluang pekerjaan dalam perniagaan kepada anggotanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Tani Kem Desa Pahlawan di Dataran Pernama Kem Desa Pahlawan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Turus Pentadbiran Markas Station Staf Kem Desa Pahlawan, Leftenan Kolonel Aziz Mamat serta Pengarah Pasar Tani berkenaan, Rosilawati Abu Hassan.

Menurut Umi Kalsom, terdapat sebanyak 57 gerai di pasar tani terbabit yang akan menjual pelbagai barangan keperluan harian dengan kebanyakannya dihasilkan sendiri para peniaga.

"Dengan adanya pasar tani ini, para peniaga berpeluang memperoleh keuntungan lebih seterusnya membantu meningkatkan pendapatan mereka dan keluarga secara berterusan," katanya.

Tambah beliau, usaha FAMA dan ATM ini dilihat mampu mengubah kehidupan anggota tentera yang terlibat dalam perniagaan sehingga mampu menjadi usahawan tani berjaya pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Okt. 2013

MAS rangkul anugerah syarikat penerbangan terbaik

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyampaikan Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik kepada Penerbangan Malaysia (MAS) yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ahmad Jauhari Yahaya sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi (tiga, kiri) pada majlis penyampaian Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2012 di Sepang malam ini. - Foto Bernama
SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) merangkul Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik pada majlis Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sebuah hotel di sini malam ini.

Anugerah itu disampaikan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berdasarkan prestasi cemerlang MAS dalam industri penerbangan sepanjang 2012.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Pada majlis itu, AirAsia menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik manakala Indonesia AirAsia menggondol Anugerah Syarikat Penerbangan Asing Terbaik.

Anugerah yang diperkenal pada 2006 itu juga mengiktiraf Mandala Airline sebagai Syarikat Penerbangan Asing Paling Berpotensi.

Selain itu, sebanyak 16 pemenang menerima 11 anugerah seperti Syarikat Penerbangan Asing Terbaik mengikut sektor dan Syarikat Penerbangan Terbaik - kargo.

Pemberian anugerah ini adalah sebagai tanda Malaysia Airport menghargai semua agensi, rakan niaga dan syarikat penerbangan atas sokongan, kerjasama dan pencapaian yang sentiasa menjadi tunggak utama kejayaan KLIA.

Sumber: BERNAMA | 28 Okt. 2013

Ahad, 27 Oktober 2013

Kota Bharu Airport to be AirAsia's next hub

INDOCHINA REGION: Fernandes says plan will most likely be realised next year

AIRASIA Bhd, the country's leading low-cost carrier, plans to establish the Kota Bharu Airport as its hub for the Indochina region, according to group chief operating officer Tan Sri Tony Fernandes.

Speaking on the sidelines of the second day of the World Capital Markets Symposium, here, yesterday, Fernandes said the company also sees the potential of several other domestic airports becoming regional hubs.

"We also see potential in Senai, Johor, and Kuantan, Pahang. I'd rather let Aireen Omar (AirAsia Bhd chief executive officer ) talk about it as she's the boss," Fernandes said, adding that the plan would most-likely be realised next year.

Fernandes, who earlier conducted a session entitled "Disruptive Innovation: The Future of Business", was asked by a member of the audience whether AirAsia would consider "disrupting the status quo" by using Kota Bharu Airport for Indochina-bound flights.

"I think it is a brilliant idea but unfortunately, before you take credit for it, we're (already) doing it," Fernandes answered, drawing laughter from the the packed hall of 700.

"From Kota Bharu, we are going to start a flight to Medan. We're going to Singapore as well, and Indochina," said Fernandes.

On the 2014 Budget, Fernandes expressed his confidence in the Finance Ministry in managing the country's fiscal deficit effectively.

"Malaysians have to be aware that we need to cut the deficit. There are three ways in addressing the deficit - imposing goods and services tax, cutting spending and increasing productivity."

Fernandes said the budget should support productive industries and entrepreneurs as drivers of the economy, which will then create more jobs and generate tax revenue.

"One very simple thing is to break down monopolies and create fair and well-regulated markets.

"I think the banking industry has done a good job, so as to inject more competition into the market and make companies more productive," he added.

Sumber/Source: Business Times | 24 Oct. 2013

TRW ada aura tersendiri

Piya meraikan gol kedua Norfarhan (tengah) dan Indara Putra Mahyudin pada malam 25 Oktober 2013.
KEJAYAAN Kelantan menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi separuh akhir pertama membuktikan pasukan tersebut berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Jelas, skuad kendalian Bojan Hodak itu mempunyai aura tersendiri apabila berjaya mengetepikan hasrat The Gladiators untuk mencari bekalan selesa di hadapan penyokong sendiri di Stadium Selayang itu.

Jaringan Kapten Marvel, Mohd Badhri Radzi dan Mohd Norfarhan Muhammad sudah cukup buat Kelantan memberi tekanan kepada skuad bimbingan B Satiananthan yang memburu slot ke perlawanan akhir musim ini.

Yang pasti, biar pun beraksi di gelanggang berkapasiti tempat duduk yang sedikit, namun persembahan ATM dan Kelantan cukup menghiburkan sekali gus menggambarkan kedua-dua pasukan itu sebenarnya antara yang terbaik di negara ini.


Orang besi wira

Bukan Mohd Badhri dan Mohd Norfarhan yang layak diangkat selaku wira tetapi penyerang import, Dickson Nwakaeme yang berhak dijulang selaku hero pasukannya setelah kelincahannya sering memporak-perandakan benteng pertahanan ATM.

Nwakaeme membuktikan dia antara pemain import paling menyerlah sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia. Begitu, sukar buat mana-mana pemain pertahanan lawan mengekang penyerang bertubuh sasa berusia 27 tahun itu. 

Malah benteng pertahanan The Red Warriors yang diterajui Obinna Nwaneri dan Azizi Matt Rose juga cukup kebal untuk ditembusi ayam tambatan ATM, Marlon Alex James dan Hairuddin Omar pada perlawanan tersebut.


Helang tempang

Aksi kurang menjadi daripada Alex James dan Hairuddin menambah sengsara skuad yang terkenal dengan jolokan Helang Rimba itu. Malah pertukaran gelanggang dengan memilih kembali beraksi di Stadium Selayang dilihat memakan diri pasukan itu.
Lebih parah buat ATM, apabila bukan sahaja tersisih Amiridzwan Taj Tajudin pada dua perlawanan separuh akhir, malam turut kehilangan Norfadzly Alias pada pertemuan malam tadi akibat kecederaan.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 26 Okt. 2013

Kerajaan Pusat sedia kerjasama dengan Kerajaan Kelantan - Mustapa

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi perkara yang memberi faedah kepada rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program dan projek oleh kerajaan pusat menerusi inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan adalah antara contoh kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat.

"Pelaksanaan ECER di Kelantan banyak memainkan peranan untuk membantu membangunkan negeri ini sekali gus membuktikan kerajaan pusat prihatin untuk memajukan negeri ini yang ketinggalan supaya Kelantan juga akan menjadi negeri maju seperti negeri lain," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini, Sabtu.

Beliau secara bersama dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan majlis tersebut.Mustapa berkata ECER banyak membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat di negeri ini sejak ia mula dilaksanakan pada 2007.

Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembangunan Taman Halal di Pasir Mas; Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Pasir Puteh; dan projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang.

Pada taklimat media di sini Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER Datuk Jebasingam Issace John berkata pelaksanaan pelbagai program dan projek di bawah ECER di Kelantan berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2007.

Ia turut mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dan 1,000 peluang keusahawanan. Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata kerajaan negeri juga bersedia untuk memberi kerjasama supaya lebih banyak lagi projek di bawah ECER dibawa ke negeri ini, termasuk menyediakan tanah.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan itu amat berfaedah kepada rakyat dan berharap ia menarik lebih ramai peserta.

Sumber: BERNAMA | 26 Okt. 2013

Jumaat, 25 Oktober 2013

11.8 juta rakyat Malaysia ada akaun FB

KUALA LUMPUR: Bilangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
  
Menurut laporan itu, kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.
  
Statistik juga menunjukkan lebih banyak pengguna internet di Malaysia merupakan pembeli berbanding penjual dengan saiz pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia dijangka mencecah RM5 bilion menjelang 2014 berbanding RM1.8 bilion pada 2010.
  
Menurut laporan itu, Malaysia merupakan antara tiga negara teras di Asia bagi purata perbelanjaan dalam talian pada tempoh 12 bulan lalu dan ini dipacu oleh perkhidmatan pelancongan, khususnya tiket penerbangan dan tempahan hotel, telah menerajui pembelian produk dan perkhidmatan dalam talian.
  
Tambahan pula pembelian melalui internet telah dipermudahkan lagi dengan pembayaran elektronik melalui perbankan dalam talian atau kad kredit.

Menurut laporan berkenaan, peningkatan jumlah pengguna internet dan pembeli dalam talian menggambarkan potensi pasaran yang luas untuk perniagaan dalam talian.
  
Syarikat yang tidak mempunyai laman web atau menawarkan pembelian dalam talian perlu mengubah perniagaan tradisional mereka kepada perniagaan dalam talian supaya tidak kehilangan pengguna yang semakin meningkat.
  
Tambahan pula, adalah penting untuk perniagaan menumpukan perhatian kepada pelanggan telefon mudah alih kerana bilangan mereka jauh melebihi pengguna internet.
  
Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari Internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan surat khabar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
  
"Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial. 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook," kata laporan itu.

Laporan itu turut menyebut kebanyakan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana masih kurang menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kerana sumber kewangan yang terhad, kekurangan pengetahuan teknologi, serta kos juruteknik dan aplikasi perisian yang tinggi.
  
Jelas laporan itu, capaian internet adalah rendah bagi PKS dan usahawan disebabkan kos jalur lebar dan pendaftaran domain yang tinggi.
  
"Sebagai contoh, pada 2010, kos sebanyak US$143 dikenakan untuk mendaftar domain di Malaysia berbanding US$64 di Taiwan dan US$24 di Amerika Syarikat," kata laporan itu.
  
PKS meliputi 97.3 peratus atau 645,136 daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia tetapi hanya 100,000 perniagaan yang mempunyai laman web dengan hanya 20 peratus daripada PKS menggunakan ICT secara meluas dalam operasi harian mereka, kata laporan itu.
  
Laporan itu menambah pada 2010, penembusan jalur lebar dalam kalangan perniagaan adalah rendah pada kadar 33 peratus manakala perbelanjaan pengiklanan dalam talian juga rendah, hanya satu peratus daripada bajet perniagaan di negara ini.
  
Ia turut menarik perhatian bahawa terdapat juga isu seperti keselamatan dan rangkaian yang mana menurut Paypal, lebih banyak pengguna akan menambah pembelian dalam talian sekiranya aspek keselamatan dipertingkatkan.
  
Kesimpulannya, menurut laporan itu, adalah penting untuk PKS dan usahawan serta pengguna menggunakan ICT serta menerima teknologi digital secara menyeluruh selari dengan transformasi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi. 

Sumber: BERNAMA | 25 Okt. 2013

5,000 hadir meriahkan Pesta Loy Kratong

PASIR MAS: Kira-kira 5,000 orang masyarakat Siam Malaysia serta Thailand dan Singapura memeriahkan Pesta Loy Krathong peringkat Kelantan di sini, malam tadi.

Pesta tradisi masyarakat itu yang diadakan di Wat Uttamaram di sini, berlangsung meriah bermula dengan program keagamaan penganut Buddha sehingga berakhir pada tengah malam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A. Tambi dan dihadiri masyarakat pelbagai bangsa yang mahu melihat kemeriahan pesta berkenaan.

Ab Ghaffar berkata kementerian menggalakkan pesta berkenaan dihadiri masyarakat pelbagai kaum bagi merapatkan hubungan melalui kebudayaan.

Pengerusi jawatankuasa sambutan, Kc Ngiam a/p Eh Kuan berkata tradisi masyarakat itu mampu merapatkan hubungan antara kaum di negara ini.

Pada sambutan itu, penganut Buddha menghanyutkan 5,000 jambangan bunga teratai di sungai bersebelahan wat itu pada 12 tengah malam.

"Kami mendoakan kesejahteraan negara kita terus berkekalan dengan keharmonian kaum terus terserlah," kata Kc Ngiam. Pesta itu turut diserikan persembahan dari pelbagai kaum dan pertandingan ratu Loy Krathong.

Sumber: BERNAMA | 25 Okt. 2013

Air selut melimpah ke jalan raya di Gua Musang

Air lumpur memenuhi permukaan jalan raya apabila hujan lebat.
GUA MUSANG: Air berlumpur dari hakisan bukit berhampiran simpang tiga bandar baharu yang melimpah ke Jalan Pulai Lama, di sini, setiap kali hujan lebat membahayakan keselamatan pengguna.

Berikutan itu, pengguna jalan terbabit meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera untuk membina perparitan bagi mengatasi masalah itu.


Mereka bimbang jika tindakan tidak diambil mungkin ada pengguna terdedah kepada risiko kemalangan kerana terpaksa merempuh takungan air hujan berlumpur itu.


Seorang pengguna, Harun Husin, 51, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan tepi jalan berkenaan tidak mempunyai longkang atau parit menyebabkan air hujan bersama lumpur mengalir ke permukaan jalan.


Menurutnya, jalan terbabit yang  menjadi laluan penting pengguna untuk ke Kampung Pulai dan Batu Papan kerap berdepan masalah berkenaan.


“Pihak berwajib sewajarnya memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana banyak kenderaan yang melalui jalan terbabit hampir terbabas.


“Saya sendiri juga kerap berdepan dengan kejadian cemas itu, tetapi bersyukur kenderaan yang dipandu dapat dikawal dengan baik,” katanya.


Muhammad Fauzi Kadir, 35, pula berkata, sekarang musim hujan dan setiap petang berlaku limpahan air dari bukit berhampiran menyebabkan pengguna berdepan risiko kemalangan.


“Walaupun belum ada kejadian tidak diingini berlaku, pihak berkenaan sepatutnya mengatasinya segera supaya pengguna rasa selamat menggunakan jalan terbabit.


“Masalah itu bukan baru, tetapi berlaku sejak awal tahun ini lagi kerana ada pemaju perumahan yang membangunkan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Okt. 2013

Projek ECER berjaya tarik RM6.5 bilion pelaburan swasta ke Kelantan dalam tempoh lima tahun

KOTA BHARU: Pelaksanaan pelbagai program dan projek oleh Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata ia juga berjaya mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu dan hampir 1,000 peluang keusahawanan di negeri ini.

Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembangunan Taman Halal di Pasir Mas, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Pasir Puteh dan projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, katanya pada taklimat media di sini Khamis, sempena Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di sini Sabtu ini.

Issace berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM630 juta melalui ECERDC untuk menjalankan projek pembangunan prasarana, pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan modal insan di Kelantan.

Mengenai projek agropolitan Kelantan Selatan yang mula dilaksanakan pada 2009, beliau berkata seramai 300 peserta bersama keluarga kini tinggal di rumah yang disediakan ECERDC, dengan pendapatan purata meningkat daripada RM350 sebulan kepada lebih RM1,000 sebulan.

Katanya peserta terbabit bekerja di ladang kelapa sawit sebagai sumber ekonomi utama dan mereka turut menanam pokok koko di belakang rumah sebagai sumber sampingan.

Beliau berkata pembangunan fasa 1 infrastruktur di Taman Halal Pasir Mas yang meliputi kawasan seluas 54 hektar, telah siap dan kompleks perniagaan usahawan di taman tersebut telah dibuka kepada pengusaha produk Halal sejak Jun tahun ini.

"ECERDC juga sedang dalam perbincangan dengan lima bakal pelabur mengenai pembinaan kilang pembuatan di taman berkenaan," katanya.

Mengenai Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali, Issace berkata di samping menjadi hab perikanan berorientasikan eksport yang dinamik dan berdaya maju, taman tersebut akan dipromosikan sebagai sebuah destinasi ekopelancongan marin yang unggul dan menarik dengan penekanan kepada keindahan alam semula jadi.

Beliau berkata Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Pengkalan Kubor mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 328,000 liter sos ikan dan budu premium.

ECERDC juga mengendalikan program akademik dan memperkasa ECER yang merupakan program pembangunan modal insan dengan 3,140 pelajar dan 1,800 peserta dewasa di negeri ini memperoleh manfaat.

Sumber: BERNAMA | 24 Okt. 2013

Lebih RM200,000 baik pulih 67 rumah penduduk miskin DUN Paloh

GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200,000 bagi program membaik pulih 67 rumah penduduk miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di sini tahun ini.

Anggota DUN Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata kerja membaik pulih rumah dengan kos RM3,000 sebuah dilakukan secara berperingkat mulai bulan ini.

"Kita mengakui memang masih banyak rumah penduduk miskin yang perlu dibaiki, tetapi mereka yang tidak dipilih tahun ini akan diberi tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini Rabu.

Sumber: BERNAMA | 23 Okt. 2013

ECERDC ubah taraf hidup peserta di Kelantan Selatan

Rumah-rumah dan projek penanaman sekunder di sekeliling rumah peserta bagi projek agropolitan fasa kedua di Taman Agropolitan Limau Manis, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Seramai 271 peserta Projek Agropolitan Rantau Manis di sini berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan sekali gus mengubah taraf hidup keluarga mereka. 

Program yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan itu bermula pada tahun 2009 untuk mengubah taraf hidup miskin tegar kepada kehidupan yang mempunyai masa depan yang cerah dan berpendapatan tetap.

Program yang telah mencapai fasa kedua tersebut melibatkan hasil pertanian koko serta kelapa sawit. Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob (gambar) berkata, peserta yang dipilih untuk menyertai program tersebut rata-ratanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM350 sebulan.

"Alhamdulillah, apabila (peserta) menyertai program ini, mereka mampu menjana pendapatan antara RM1,100 ke RM1,300 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit dan penanaman sekunder iaitu koko ditanam dengan keluasan suku ekar di sekeliling rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan media ke tapak projek agropolitan berkenaan, kelmarin.

Zulkifli berkata, selain daripada aktiviti pertanian, banyak lagi aktiviti yang melibatkan ahli keluarga peserta juga dijalankan.

"Para suri rumah turut berpeluang menyumbang kepada pendapatan keluarga dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ekonomi sampingan seperti menjahit, membuat kuih dan sebagainya.

"Anak-anak peserta program pula berpeluang menyertai program latihan akademik yang dijalankan oleh ECERDC di mana kelas-kelas pemulihan dan sesi-sesi motivasi diadakan untuk membantu mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak tersebut," katanya.

Projek Agropolitan melibatkan penempatan semula peserta-peserta yang terdiri daripada golongan miskin ke rumah-rumah baharu dibina oleh pihak ECERDC dengan kesemua mereka diberi latihan dan pekerjaan dalam projek-projek pertanian yang dilaksanakan oleh majlis itu.

Bermula pada 2009, aktiviti utama di Agropolitan Kelantan Selatan melibatkan perladangan kelapa sawit di kawasan seluas 1,490 hektar serta penanaman koko sebagai aktiviti sekunder dan para peserta telah diberi latihan khusus.

Selain rumah, pelaksanaan program agropolitan juga menyediakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tadika, surau, dan kedai-kedai untuk mewujudkan sebuah komuniti dalam kalangan peserta dan keluarga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, projek untuk fasa yang ketiga telah dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2015.

"Projek untuk fasa ketiga iaitu pembangunan ladang kelapa sawit seluas 835 hektar telah dijalankan Mei lalu dan pembinaan lagi 300 unit rumah dijangka siap sepenuhnya awal 2015. "Bagi penanaman koko pula, kita akan jalankan pada pertengahan tahun 2014," katanya. 

Pada masa yang sama, ECER turut membantu golongan usahawan di negeri ini dengan menyediakan pelbagai program sejajar dengan tujuan penubuhannya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini. 

Untuk itu, Program Pembangunan Keusahawanan ECER (EEDP) telah dilancarkan pada tahun 2011. Objektif utama EEDP adalah untuk menjadikan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelaburan bumiputera sebagai kumpulan sasaran ke arah membantu mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil pendapatan perniagaan. 

Program itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu dengan kerjasama Agro Bank (EEDP-Agro Bank) dan SIRIM (EEDP-SIRIM). 

EEDP-Agro Bank menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembiayaan kepada para usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat membangun dan mengembangkan perniagaan.

Melalui program itu, pembiayaan diberikan kepada usahawan berkelayakan dengan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah kerana sebahagian daripada faedah tersebut ditanggung ECERDC. 

Pembiayaan kepada usahawan mikro adalah sebanyak RM50,000 manakala untuk usahawan IKS sehingga RM250,000 dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 96 bulan. 

Sehingga kini, seramai 552 usahawan seluruh ECER telah terpilih menyertai program EEDP Agro Bank dengan Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 230 usahawan, Pahang (204), Kelantan (102) dan Mersing, 16 usahawan. 

Program EEDP-SIRIM pula dirangka khusus untuk membantu pembangunan dan bimbingan usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka. 

Pendekatan ini merangkumi aspek-aspek pengurusan kewangan, pembangunan produk, pemasaran, penyelidikan, pensijilan halal, kawalan peningkatan kualiti dan pembungkusan. 

Seramai 28 peserta berjaya meningkatkan hasil jualan mereka melebihi 25 peratus sebulan dan kesemua produk itu berjaya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

ECER telah membuktikan bahawa mereka telah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan ekonomi di wilayah Pantai Timur.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013

RM2.5 juta bangunkan tanaman kelapa matag

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan tanaman kelapa matag di negara ini mulai tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Sabtu Slamat berkata, tanaman kelapa berkenaan berupaya menghasilkan pendapatan tiga kali ganda berbanding kelapa biasa sekiranya diusahakan menerusi amalan dan teknologi pertanian yang betul.

Menurutnya, berdasarkan kajian bahagian penyelidikan pertanian, sehektar tanaman kelapa matag mampu menghasilkan pulangan sebanyak RM20,000 setahun berbanding hanya RM5,000 kelapa biasa.

"Ia adalah spesies pokok yang cepat berbuah dengan kualiti hasil yang tinggi pastinya merangsang pendapatan petani berbanding pokok kelapa yang lambat berbuah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Khemah Kerja dan Hari Peladang peringkat negeri Kelantan di Kampung Melawi di sini hari ini.

Lebih 100 petani dari seluruh jajahan menyertai upacara itu yang turut disertai Pengarah Pertanian Kelantan, Ab. Lah Ismail.

Sabtu berkata, kelapa baka baharu hasil kacukan benih Malaysia-Filipina itu boleh dikomersialkan untuk membuat kuih-muih termasuk perusahaan jeli kelapa dan santan yang bermutu tinggi.

Setakat ini, katanya, terdapat juga pengusaha yang turut mengusahakan penghasilan benih dan memasarkannya di pasar tani seluruh negara.

"Pada tahun 2017, disasarkan kita dapat membekalkan benih kelapa mencukupi bagi permintaan petani yang bercadang mengusahakannya secara besar-besaran.

"Bagi mencapai matlamat itu, kawasan seluas 70 hektar di Kampung Leking, Johor sudah dikenal pasti sebagai ladang pengeluaran benih terbesar di negara ini," katanya.

Sabtu berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan yang lebih yang membabitkan negeri Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.

Di Kelantan, katanya, kawasan seluas 60 hektar sedang diusahakan dengan tanaman itu bagi menggantikan kelapa Malaysia Tall (kelapa biasa) di pesisiran pantai di Kampung Melawi yang membabitkan tiga fasa bermula 2011.

"Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan sejumlah RM240,000 bagi menjayakan projek tanaman ini yang dapat memberi faedah kepada 160 petani," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013

Selasa, 22 Oktober 2013

Penjelasan: Ahmad nafi lulus permohonan balak

KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan tidak meluluskan atau memproses mana-mana permohonan daripada syarikat pembalakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, perkara itu memandangkan pihaknya masih belum mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan negeri yang dipengerusikan beliau sendiri.

Sehubungan itu, tambah beliau, tidak timbul sebarang isu kerajaan pimpinannya meluluskan kawasan untuk pembalakan di negeri ini

"Saya baru jadi menteri besar empat bulan, mesyuarat jawatankuasa balak pun belum diadakan lagi, macam mana hendak kata saya telah memberikan kawasan balak kepada pihak tertentu

"Tunggu saya mesyuarat dahulu, lepas itu baru kita tahu berapa kelulusan kawasan telah diberikan dan berapa yang tidak lulus kecualilah saya sebagai Pengerusi sudah buat mesyuarat dan ada keputusan tetapi sekarang muncul pula cerita budak 22 tahun dapat kawasan balak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 23 Tahun Membangun Bersama Islam di pekarangan Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Sebelum ini, ada pihak tertentu yang dikatakan pro-Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menggunakan media sosial menyerang kerajaan pimpinan Ahmad mengenai isu pembalakan

Perkara itu bermula dengan pendedahan Husam dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan mengenai permohonan kawasan seluas 1,400 hektar bernilai RM7 juta di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat kepada seorang individu tanpa tender pada Ogos lalu.

Isu tersebut menjadi perdebatan hangat di media sosial malah ada antara mereka mendedahkan kawasan tersebut dipohon seorang pemuda berusia 22 tahun yang baru seminggu mendaftar perniagaan. 

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan berkata, pihaknya akan menghantar jentera pilihan raya untuk memastikan parti itu dapat mengekalkan kerusi tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 21 Okt. 2013

Isnin, 21 Oktober 2013

Perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang dari Hentian Bas Titiwangsa ke LTSAAS

KONSORTIUM Transnasional Berhad (KTB) dengan kerjasama Subang Skypark Sdn. Bhd. (subpengendali lapangan terbang di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad) telah memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang (airport shuttle bus) bagi laluan Hentian Bas Titiwangsa - Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

Perkhidmatan bagi laluan Hentian Bas Titiwangsa (juga dikenali sebagai Hentian Bas Pekeliling di pusat bandar raya Kuala Lumpur) ke bangunan terminal LTSAAS ini telah bermula sejak 11 Oktober 2013 lepas.

Perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang yang diberi nama "KL City Airport" ini disediakan setiap jam bermula pada jam 04:00 dan perkhidmatan terakhir pada jam 00:30 bertolak dari LTSAAS. Jika dari lapangan terbang, perkhidmatan bas ini boleh diambil di hadapan bangunan terminal LTSAAS, Subang, Shah Alam, Selangor.

Kadar tambang yang dikenakan adalah RM9.00 untuk perjalanan sehala dari Hentian Bas Titiwangsa ke LTSAAS dan sebaliknya melalui (turut mengambil penumpang) Plaza Damas, eCurve Mutiara Damansara, dan Stesen LRT Kelana Jaya. Kadar tambang dari Stesen LRT Kelana Jaya ke LTSAAS dan sebaliknya adalah RM3.00 sahaja. Tiket boleh dibeli di dalam bas.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang: www.cityairport.com.my atau www.subangskypark.com

Nota kaki: LTSAAS menjadi hab penerbangan utama bagi syarikat penerbangan Firefly dan Berjaya Air, manakala syarikat penerbangan Malindo Air juga beroperasi di lapangan terbang kota ini.