Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 Oktober 2013

Aktiviti perlombongan jejaskan petani dan pemilik tanah di Rantau Panjang

Pemilik ladang mendakwa kebanjiran lumpur bijih ini berpunca daripada limpahan air daripada tapak melombong bijih.
RANTAU PANJANG: Air lumpur berserta bijih yang memenuhi lebih 100 ekar kawasan kebun sejak tiga tahun lalu menyebabkan hampir 50 petani dan pemilik tanah, di sini, hilang punca pendapatan.

Lebih menyedihkan, air lumpur yang kelihatan seumpama tasik itu turut menenggelamkan rumah pekerja ladang, manakala pokok getah, buah-buahan dan kelapa sawit mati akibat terlalu lama ditenggelami air.

Dari pandangan kasar, kawasan bukit bijih ini kelihatan seperti pulau berikutan keadaan itu dan beberapa tuan tanah mendakwa mengalami kerugian kerana ladang mereka disahkan 'tanah mati' yang tidak memungkinkan sebarang aktiviti pertanian dijalankan.

Pemilik tanah, Munah Jusoh, 75 mendakwa kejadian banjir lumpur bijih ini berpunca daripada limpahan air dari tapak melombong bijih.

"Pihak berkenaan menggunakan amaun air yang banyak di kawasan lombong tetapi lebihan air tidak mengalir ke kawasan tadahan sebaliknya ke kebun penduduk.

"Limpahan air tertumpu ke kawasan rendah sehingga menenggelamkan ladang getah, kelapa sawit dan kebun buah. Saya sendiri terpaksa berhentikan pekerja kerana semua pokok getah mati akibat banjir lumpur bijih ini," katanya.

Menurut Munah, sebelum ini dia mampu meraih pendapatan hampir RM4,000 sebulan, namun kini apa yang tinggal di kebunnya hanya pokok getah tumbang serta lumpur mencecah paras lutut.

Beri kesan kepada jalan

Seorang lagi pemilik tanah, Muhammad Muhamad Kasim, 64 memaklumkan, limpahan bijih turut memberi kesan kepada struktur jalan menyebabkan ia tidak lagi boleh dilalui kenderaan ringan.

Menurutnya, limpahan bijih telah menyebabkan takungan lumpur yang teruk dan petani terpaksa menggunakan kenderaan berat atau pacuan empat roda sekiranya mahu ke kebun masing-masing.

"Masalah ini berlaku sejak pihak berkenaan memulakan kerja melombong pada 2008 tetapi mula serius sejak 2011. Ketika itu ia hanya melimpah ke kaki bukit. Lama kelamaan, ia merebak sehingga hampir 500 meter dari tapak lombong," katanya.

RM10,000 untuk guaman

Sementara itu, Zainulabidin Mohd Nor, 56 (pemilik tanah) berkata, petani terpaksa menghabiskan lebih RM10,000 seorang untuk proses guaman dan disebabkan kebanyakan mereka tidak berpendapatan tinggi, ramai yang mengambil langkah berdiam diri.

“Sejak tiga tahun lalu, saya laporkan perkara ini kepada pihak polis, Jabatan Alam Sekitar, Ketua Jajahan Pasir Mas dan Ahli Parlimen malah turut melawat mereka ke tapak lombong. Namun sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.

"Lanjutan kes ini, saya turut merayu kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk ambil tindakan tegas dan segera. Saya menggesa pihak pelombong bertanggungjawab ke atas kerosakan tanah yang kami alami," katanya.

Tambah Zainulabidin, selepas ini pihak berkenaan perlu membina parit, menyelenggara dan memantau aliran air agar tidak melimpah ke kawasan lain. Katanya, pemilik tanah bukan berniat menolak pembangunan namun pemantauan pihak berkuasa, kerajaan negeri dan pelombong penting demi memastikan rakyat tidak tertindas.

Dalam pada itu, pihak pelombong terbabit  akan memberi kenyataan balas berhubung dakwaan petani dalam keluaran Sinar Harian, esok.
Ladang getah yang turut terjejas teruk
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Okt. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan