KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota 
Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menguatkuasakan pengharaman menghisap
 shisha di negeri ini bermula hari ini selaras dengan keputusan Majlis 
Mesyuarat Kerajaan Kelantan.
Yang Dipertuanya, Fauzi Mat berkata, keputusan itu juga adalah
 sokongan kepada langkah pengharaman shisha yang dibuat Majlis Fatwa 
Kebangsaan baru-baru ini selepas mendapati mempunyai bahan yang 
memudaratkan kesihatan.
Sehubungan itu, katanya, MPKB-BRI bersetuju menubuhkan satu 
jawatankuasa teknikal yang turut dianggotai pihak polis bagi menjalankan
 operasi membanteras penjualan shisha di mana-mana premis perniagaan 
seluruh Kelantan.
"Sehubungan itu, mana-mana premis yang didapati menyediakan 
perkhidmatan menghisap shisha kepada pelanggan seperti kedai makan dan 
restoran akan berdepan tindakan tegas oleh MPKB-BRI," katanya dalam 
kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Korporat, Azman 
Mohd. Daham ketika dihubungi berkata, jawatankuasa teknikal yang 
dibentuk mempunyai kuasa merampas semua peralatan berkaitan shisha di 
premis yang menjualnya kerana menyalahi lesen yang dikeluarkan.
Walau bagaimanapun, katanya, MPKB-BRI masih belum mempunyai akta atau
 undang-undang yang boleh dijalankan dan menunggu langkah seterusnya 
daripada Kerajaan Pusat mengenai tindakan yang patut diambil kepada 
pesalah.
"JIka lesen yang dikeluarkan untuk buka restoran atau kedai makan, 
maka mereka tidak boleh menjual shisha, jadi dalam operasi berkala yang 
dibuat nanti jika didapati ada yang menjualnya kami boleh lakukan 
rampasan," katanya.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal 
Ugama Islam Malaysia yang diadakan 19 Julai lalu memutuskan shisha 
adalah haram.
Berikutan itu, Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor 
Husin seperti dilaporkan media berkata, umat Islam dilarang menghisap 
shisha atau menyediakan perkhidmatan tersebut serta sebarang aktiviti 
berkaitannya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 1 Okt. 2013 | 
.png)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan