KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara mendapati prestasi 
dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan iaitu Majlis Daerah Pasir 
Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Tumpat (MDT) tidak memuaskan.
Pengauditan yang dijalankan pada bulan Julai hingga Oktober 2012 
mendapati pada umumnya pengurusan sisa pepejal kurang memuaskan kerana 
terdapat beberapa kelemahan seperti tong sampah yang disediakan tidak 
mencukupi, tong sampah tidak digunakan dan tong sampah tidak diletak di 
tapak dikhaskan.
Selain itu, papan notis jadual kutipan tidak dipamerkan, tindakan 
penguatkuasaan tidak diambil, kerja pembersihan oleh pemajak kurang 
memuaskan kerana rumput di sekitar Pasar Besar tidak dipotong.
Di samping itu, prestasi tersebut turut disumbangkan oleh pengurusan 
tapak pelupusan yang kurang memuaskan kerana tapak pelupusan tidak 
dipagar, sampah tidak ditimbus, kemudahan washing bay tidak 
disediakan, jalan keluar masuk ke tapak pelupusan tidak disenggara dan 
sampah dibakar tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Berikutan itu, Laporan Audit Negara mengesyorkan MDPM dan MDT 
mengambil langkah untuk menambah baik pengurusan sisa pepejal dalam 
kawasan pentadbiran majlis seperti menambah bilangan tong sampah di 
kawasan penduduk padat untuk menampung kuantiti sampah yang semakin 
meningkat dari semasa ke semasa.
Pihak berkenaan juga dicadang mengadakan program kesedaran kepada 
orang awam dan mempertingkatkan penguatkuasaan mengenai undang-undang 
dan peraturan berkaitan dengan pembersihan dan pelupusan sampah serta 
mempertingkatkan kawal selia terhadap kontraktor supaya kerja 
pembersihan yang dijalankan adalah selaras dengan syarat-syarat 
perjanjian.
Kawalan dan penyenggaraan tapak pelupusan Majlis hendaklah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Majlis dan JAS.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Okt. 2013 | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan