KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meminta
Kerajaan Persekutuan menimbang untuk membina jambatan merentasi Sungai
Kelantan yang menghubungkan Kampung Cina di Kota Bharu dengan
Palekbang, Tumpat, iaitu projek yang dijanjikan Kerajaan Pas Kelantan
kepada rakyat sejak 17 tahun lalu tetapi tidak pernah ditunaikan.
Menurut baginda, pembinaan jambatan tersebut penting bagi mengatasi
kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar ini terutama pada waktu
puncak.
Baginda bertitah demikian selepas merakamkan rasa sukacita kepada
usaha Kerajaan Pusat menyiapkan pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya
Petra bernilai RM180 juta yang mempunyai empat lorong dan telah dibuka
sepenuhnya pertengahan Oktober lalu.
"Perkembangan mutakhir Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra turut
menggembirakan beta setelah ia dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas
pada pertengahan Oktober lalu, beta mengambil kesempatan ini merakamkan
ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas siapnya projek
tersebut.
"Di samping itu, beta berharap Kerajaan Persekutuan dapat menimbang
bagi membina sebuah lagi jambatan merentasi Sungai Kelantan yang
menghubungkan Kampung Cina, Kota Bharu ke Palekbang, Tumpat bagi
mengatasi kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak," titah
baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan
Kebesaran Negeri Kelantan Tahun 2013 Sempena Sambutan Ulang Tahun
Keputeraan Baginda Ke-44 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Sumber: Utusan Online | 11 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan