Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 8 November 2013

Nik Aziz terima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate

Nik Abdul Aziz Nik Mat (dua dari kiri) menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate daripada Ahmad Yakob (dua dari kanan) di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate sempena Sambutan Hari Anak Muda Kelantan 2013 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini.

Anugerah tersebut diberikan terhadap sumbangan dan jasa beliau untuk agama Islam serta membangunkan negeri ini. Anugerah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Dr. Ramli Mamat.

Sementara itu, Kapten pasukan bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menerima anugerah Tokoh Sukan, manakala pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Mohd. Asri Mat Daud (Tokoh Ulama Muda).

Pensyarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Dr. Irfan Mohamad (Tokoh Akademik) dan ahli perniagaan, Syeikh Kadir Syamzari Wan Idris (Tokoh Usahawan).

Anugerah dwitahunan yang diadakan sejak tahun 2007 itu khusus untuk anak muda dari negeri ini yang mencatatkan kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing. Ini juga bagi mewujudkan ikon untuk dicontohi oleh anak muda di negeri ini dalam semua bidang yang diceburi.

Sementara itu, Ahmad ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan untuk pembangunan anak muda di negeri ini supaya mereka menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

"Anak muda merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan pencetus perubahan, penggerak kemajuan dan pelapis kepemimpinan. "Justeru itu, pembangunan golongan ini adalah menjadi agenda utama program-program untuk menjadikan mereka insan cemerlang," katanya.

Beliau berharap, anugerah tersebut akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada anak muda yang ada untuk meningkatkan kualiti dan jati diri bagi menggapai kecemerlangan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 7 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan