Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 9 November 2013

Perkhidmatan kereta api di Pantai Timur perlu dinaik taraf

Syed Hamid melawat Stesen Kereta Api Gua Musang di Kelantan Selatan.
GUA MUSANG: Perkhidmatan kereta api di pantai timur perlu dinaik taraf bagi memberi keseimbangan  kemajuan pengangkutan dalam negara selaras dengan penyediaan lebih moden untuk keselesaan penumpang.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, langkah itu perlu supaya ada perubahan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna, khususnya rakyat Kelantan yang gemar menggunakan kereta api.

Beliau berkata, perkhidmatan kereta api di pantai timur masih berada pada tahap lama termasuk koc dan landasan yang sekian lama telah digunakan tanpa ada penambahbaikan.

“Kita lihat ada koc yang digunakan sekarang berusia lebih 30 tahun dan tidak memberi keselesaan lagi kepada penumpang terutama bagi mereka yang membuat perjalanan jauh termasuk ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

“Sudah sampai masanya perkhidmatan kereta api ini dinaik taraf seperti yang disediakan di utara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkhidmatan kereta api di Stesen Kereta Api Gua Musang, di sini, pagi semalam.

Syed Hamid berkata, walaupun setiap perubahan bagi menaik taraf perkhidmatan kereta api berkenaan menelan belanja besar tetapi perkara itu perlu diberi perhatian daripada kerajaan.

Beliau berkata, rakyat Kelantan masih mengharapkan pengangkutan kereta api untuk ke mana-mana sahaja termasuk juga penduduk tempatan yang ingin memasarkan hasil pertanian.

“Kita dapat lihat wanita Kelantan yang turun naik kereta api untuk memasarkan hasil pertanian dan mereka adalah penumpang tetap kereta api walaupun perjalanan dalam negeri yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan pembinaan stesen baharu di kebanyakan perhentian kereta api di Pantai Timur itu termasuk Stesen Kereta Api Gua Musang yang lengkap pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengguna perkhidmatan tersebut.

“Tinggal lagi koc penumpang dan rel kereta api yang belum dinaik taraf dan perlu dilakukan demi untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam darat tersebut kerana penggunaannya masih mendapat sambutan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan