Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

Pembinaan SRJKC Pulai berharga RM2.5j ikut jadual

GUA MUSANG: Kerajaan akan memastikan pembinaan bangunan baharu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pulai yang menelan belanja RM2.5 juta disiapkan mengikut jadual supaya pemindahan pelajar dapat dilakukan awal tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof berkata, bangunan baharu itu bagi menggantikan bangunan kayu lama yang semakin uzur dan tidak selamat lagi digunakan untuk tempat belajar bagi pelajar sekolah terbabit.

Beliau berkata, pembinaan bangunan baharu sekolah itu juga sebagai menunaikan janji kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada November 2010.

"Pembinaan bangunan baharu itu membuktikan kerajaan BN tidak pernah mungkir janji dan tetap melaksanakannya untuk keselesaan pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek sekolah itu di sini kelmarin.

Ab. Aziz yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, setakat ini belum ada projek yang dijanjikan kerajaan BN ketika PRK itu yang gagal dilaksanakan di kawasan DUN Galas termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 1,000 unit.

Beliau mengakui memang kerajaan berjanji untuk membina sebanyak 1,500 unit rumah PPR itu, tetapi disebabkan kawasan sedia ada di belakang Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini tidak mencukupi, mengakibatkan jumlah 500 unit lagi ditangguhkan buat sementara.

Katanya, kawasan baru bagi tujuan itu sudah dikenal pasti tidak jauh dari bandar ini dan sekarang masih dalam proses penyelesaian milik untuk pembinaan 500 unit PPR supaya dapat mencukupi bagi keperluan penduduk.

"Jangan risau kerana kerajaan BN ada kemampuan untuk membina baki 500 unit rumah PPR itu tidak lama lagi dan pembinaan 1,000 unit rumah PPR sekarang masih dalam kerja di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada penduduk yang layak nanti," katanya.

"Keutamaan rumah PPR itu yang mendapat diskaun pembayaran daripada kerajaan BN kepada mereka yang benar-benar layak termasuk kalangan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan sekitar bandar ini dan mereka yang mempunyai pendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Ketua UMNO bahagian, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan harga sebenar rumah itu yang mampu dimiliki oleh mereka berpendapatan rendah membabitkan penduduk berbilang kaum.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan